Kembalikan mandat kepada Gerakan: Soon Hai

KUALA LUMPUR - Rakyat perlu memberi mandat semula kepada Gerakan untuk memimpin semula Pulau Pinang, berdasarkan rekod pemerintahan parti itu di negeri tersebut.

Timbalan Presiden Gerakan, Dr Cheah Soon Hai berkata, rekod pemerintahan baik selama 39 tahun di negeri yang mendapat jolokan Pulau Mutiara itu membuktikan partinya lebih layak memimpin negeri itu berbanding DAP ketika ini.

“Kita lihat kepada pemerintahan Tun Dr Lim Chong Eu dan Tan Sri Koh Tsu Koon yang baik, dengan mereka mampu membawa masuk pelabur yang baik.

“Misalnya, Tsu Koon berjaya membawa syarikat Intel dan syarikat itu masih beroperasi di Pulau Pinang. Ini adalah antara rekod baik kami di negeri itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Nasional Pemuda dan Wanita Gerakan di ibu pejabat Gerakan, di sini hari ini.

Soon Hai berkata, selain itu, semua pembangunan dibuat ketika pemerintahan Gerakan telah mengambil kira nasihat daripada jabatan kerajaan sebelum ia dibina, bagi memastikan pembangunan itu tidak memberi impak negatif pada masa akan datang.

Malah katanya, barisan Exco sebelum ini tidak mempunyai skandal dalam kalangan mereka, sekali gus membuktikan kepimpinan terdahulu lebih baik daripada kepimpinan terkini.

“Ini adalah rekod yang kita tunjukkan kepada rakyat dan mereka perlu menilai rekod ini. Rekod ini bukanlah sekadar persepsi tetapi ianya telah berlaku.

“Oleh itu, saya mahu Pemuda Gerakan untuk memulakan kempen dan mencari mekanisme untuk menyakinkan golongan belia (menyokong Gerakan semula),” katanya.

Sementara itu, Soon Hai meminta pasukan media sosial parti untuk lebih bergiat aktif mewawarkan agenda kerajaan dan parti yang dilakukan kepada rakyat.

Tindakan itu dapat menepis 'posting' media sosial dibuat oleh pasukan media sosial milik parti pembangkang yang suka menimbulkan persepsi yang tidak betul terhadap kerajaan.

Source: http://www.sinarharian.com.my/politik/kembalikan-mandat-kepada-gerakan-soon-hai-1.755877

Search

Calendar

Top

Google+
Follow @partigerakan