MCA, Gerakan tubuh biro bahasa Malaysia

KUALA LUMPUR 27 Okt. – Gerakan dan MCA bercadang untuk me­nubuhkan Biro Bahasa Khas khusus untuk meningkatkan pe­nguasaan bahasa Malaysia dalam kalangan murid di sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC).

Timbalan Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau berkata, pihaknya akan meminta bantuan daripada badan berkaitan seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi memastikan biro tersebut dapat menjalankan peranan dengan cara terbaik.

Tambahnya, semua pihak juga harus bekerjasama dalam memastikan masalah penguasaan bahasa Malaysia dalam kalangan murid SJKC dapat ditangani termasuk guru-guru, pemimpin-pemimpin Cina dan badan-badan terbabit.

“Berikutan keprihatinan ke­ra­jaan meluluskan 10 SJKC se­malam, Gerakan dan MCA ber­mesyuarat untuk memastikan penguasaan bahasa Malaysia iaitu bahasa kebangsaan murid di SJKC dapat diper­tingkatkan.

“Salah satu Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kita adalah untuk menghapuskan kelas peralihan di sekolah menengah. Untuk itu, murid SJKC perlu menguasai bahasa Malaysia dengan baik supaya mereka tidak ketinggalan apabila naik ke sekolah menengah,” kata­nya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Isnin lalu, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, sekolah vernakular di negara ini wajib menghargai dasar terbuka kerajaan yang membenarkan sekolah jenis itu beroperasi dengan menghasilkan pelajar yang fasih dan menguasai bahasa Malaysia dengan baik.

Sementara itu, semalam, Kementerian Pendidikan meluluskan permohonan pembangunan 10 SJKC baharu bagi memenuhi keperluan pendidikan masyarakat Cina.

Dalam pada itu, Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, pihaknya menyambut baik nasihat daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memperkukuhkan lagi penguasaan bahasa Malaysia dalam kalangan murid SJKC dengan memberi lebih banyak penekanan kepada murid dari darjah satu sehingga enam termasuk tambahan dalam kerja rumah.

Kata Tiong Lai, pengenalan pem­belajaran pintar atau smart lear­n­ing menggunakan teknologi untuk memberi kerja rumah dalam bahasa Malaysia juga dijangka dapat membantu meningkatkan lagi penguasaan murid-murid tersebut dalam bahasa kebangsaan.

“Kami akan bekerjasama de­ngan SJKC untuk memperkukuhkan lagi bahasa Malaysia. Sememang­nya ketiga-tiga bahasa Malaysia, Cina dan Inggeris diberi penekanan di SJKC dan ia tidak menjadi isu.

“Tambahan pula, murid-murid di SJKC pada masa kini terdiri daripada berbilang kaum. Sebagai contoh, banyak murid berketurunan Kadazan dan Murut di Sarawak bersekolah di SJKC dan tidak mempunyai masalah dalam penggunaan bahasa Malaysia,” ujarnya.

 
 
 
 

Search

Calendar

Top

Google+
Follow @partigerakan