Enggan guna teknologi mesin punca lambakan pekerja asing

SHAH ALAM: Keengganan syarikat perladangan dan pertanian melaksanakan program mekanisasi antara punca lambakan pekerja asing di negara ini.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong, berkata kebanyakan pemain sektor itu masih bergantung kepada pekerja asing, dengan alasan perubahan kepada penggunaan mesin dan peralatan moden memerlukan kos tinggi.

"Program mekanisasi akan membantu meningkatkan hasil, kapasiti dan produktiviti. Penggunaan mesin atau peralatan moden mampu menjana keuntungan bagi jangka panjang.

"Kita kena tengok faedah untuk jangka panjang. Sebenarnya, kos pekerja asing adalah lebih tinggi kerana syarikat perlu menyediakan kemudahan serta memenuhi pelbagai tuntutan pekerja.

"Selain itu, ia langkah terbaik bagi mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing apabila kebanyakan kerja diambil alih mesin," katanya pada sidang media selepas merasmikan Malaysia International Agriculture Technology Exhibition 2017 di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Siew Keong berkata, eksport sektor komoditi negara bagi Januari hingga Julai tahun ini meningkat 23.21 peratus, iaitu RM81.5 bilion berbanding RM66.1 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.

Katanya, pencapaian itu menunjukkan perkembangan sektor komoditi negara bagi separuh tahun pertama 2017 serta kedudukannya sebagai tulang belakang ekonomi negara.

Beliau berkata, kerajaan turut membangunkan produk ramuan bagi makanan ternakan berasaskan isirung sawit bagi memenuhi keperluan industri ternakan negara.

"Selama ini makanan haiwan ternakan ialah jagung yang diimport. Pada 2016, Malaysia mengimport jagung dari Argentina dan Brazil masing-masing dengan nilai RM1.17 bilion dan RM1.64 bilion," katanya.

 

Search

Calendar

Top

Google+
Follow @partigerakan