Bersabar ada hadnya- Siew Keong

KUALA TERENGGANU 21 Julai- Langkah Gerakan menyaman Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng bertujuan menghentikan fitnah berterusan terhadap parti itu dan bekas pemimpinnya, Tan Sri Koh Tsu Koon yang masih dijaja sebagai modal politik.

Presidennya, Datuk Seri Mah Siew Keong yang menyelar tindak -tanduk Guang Eng berkata, pihaknya sudah sekian lama bersabar namun isu yang sengaja dimainkan bagi menyebarkan kebencian kepada Tsu Koon, parti dan kerajaan harus berakhir.

"Beliau (Guang Eng) kemudian membuat kenyataan laman sosial Facebook beberapa hari lalu mendakwa kononnya tindakan Gerakan yang mahu memfailkan saman adalah double standard'.

"Malah mengejek dengan menyiarkan gambar lama ketika saya sedang makan dalam mempromosikan minyak sawit bagi menangkis tuduhan kononnya tidak baik untuk kesihatan,"ujarnya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Gerakan Negeri Terengganu Kali Ke-36 di sini hari ini.

Gerakan mengambil tindakan saman ekoran fitnah dan fakta tidak tepat yang dilemparkan sejak tahun 2012 berhubung penjualan tanah Seri Tanjung Pinang dan Lebuh Raya Jelutong di sini oleh kerajaan negeri ketika Tsu Koon menjadi Ketua Menteri.

Katanya, Gerakan berdasarkan kes yang kuat, baharu sahaja mahu memfailkan saman buat pertama kali, malah Tsu Koon tidak pernah saman sesiapa sepanjang 20 tahun sedangkan Guang Eng dalam telah banyak menyaman pelbagai pihak.

"Kita tidak mahu membuang masa dengan menyaman. Tetapi tidak adil bagi parti kita dan Tsu Koon dengan membiarkan fakta-fakta salah ini (terus dimainkan). Kita telah lama bersabar.

"Beliau (Guang Eng) menyaman pelbagai pihak termasuk media, jadi sekarang bagaimana beliau kata tidak beri beliau hak bersuara? Gerakan baru sekali saman. Tapi beliau kata kita 'double standard,' katanya.

Katanya Gerakan telah menghantar notis kepada Lim dan saman akan difailkan di mahkamah dalam tempoh terdekat. - UTUSAN ONLINE

 

Source: https://www.utusan.com.my/berita/politik/bersabar-ada-hadnya-siew-keong-1.505648

Search

Calendar

Top

Google+
Follow @partigerakan