Kampung 'terang' selepas 40 tahun

TELUK INTAN 27 Jun - Kehadiran Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini amat bermakna buat 50 penduduk Kampung Sungai Chawang di sini melibatkan sembilan keluarga apabila penantian mereka selama 40 tahun untuk menikmati bekalan elektrik, ak­hirnya tercapai.

Permasalahan tersebut selesai setelah Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar di kawasan tersebut telah disempurnakan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan kerjasama Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Malaysia (KKLW).

Semuanya hasil keprihatinan Ahli Parlimen Teluk Intan, Datuk Seri Mah Siew Keong dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Changkat Jong, Datuk Mohd. Azhar Jamaluddin yang memanjangkan permasalahan itu kepada perhatian Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.

Sehubungan itu, permasalahan tersebut akhirnya dapat diatasi dalam program pemukiman kerajaan negeri di daerah Hilir Perak yang berlangsung pada April lalu.

Hakikatnya, kegembiraan jelas terpancar pada wajah setiap penduduk tidak kira tua mahupun muda kerana bekalan elektrik yang disalurkan itu bukan sahaja menerangi kediaman mereka, malah memberikan kehidupan yang serba selesa.

Tinjauan Utusan Malaysia di kampung berkenaan mendapati penduduk kini boleh menonton televisyen, menggunakan peti sejuk, mesin basuh, kipas angin serta peralatan membuat kuih raya termasuk ketuhar.

Seorang penduduk, Saidan Mat Sam, 64, berkata, mereka sekeluarga bersama penduduk lain tidak pernah menikmati bekalan elektrik sejak kampung tersebut mula dibuka lebih 40 tahun lalu.

“Sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini pastinya lebih meriah apabila anak-anak kami sudah memasang lampu hiasan.

“Malahan, peti ais, televisyen serta segala kelengkapan baharu menggunakan tenaga elektrik, telah dibeli bagi menyambut hari lebaran pada tahun ini,” katanya.

Sementara itu, seorang warga emas, Fatimah Murad, 68, me­ngakui dia tidak pernah berpeluang untuk menonton sebarang rancangan di kaca televisyen.

“Sejak 40 tahun lalu, rumah ini hanya menggunakan lampu minyak tanah dan lilin. Namun kini, saya tidak perlu lagi bergantung kepada lampu minyak tanah dan lilin untuk membaca al-Quran, memasak, membasuh pakaian serta me­lakukan rutin seharian di rumah.

“Terima kasih kepada TNB serta pemimpin negeri Perak yang mengambil berat tentang kehidupan kami di kampung ini.

“Hari raya ini sudah tentu ramai anak cucu yang akan datang ke rumah bagi menyambutnya bersama,” kata Fatimah yang masih menyimpan pelita yang digunakan sejak sekian lama biar­pun ada pihak berkenan untuk membelinya dengan harga tinggi.

 

Source: https://www.utusan.com.my/berita/wilayah/perak/kampung-terang-selepas-40-tahun-1.496898

Search

Calendar

Top

Google+
Follow @partigerakan