'Ambil tindakan EXCO, ADUN tak hadir DUN PP'

GEORGETOWN: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Datuk Law Choo Kiang digesa segera mengambil tindakan disiplin ke atas EXCO yang gagal menghadiri sesi perbahasan, petang semalam.

Naib Pengerusi GERAKAN negeri, Oh Tong Keong, berkata ia susulan tindakan EXCO terbabit jelas menunjukkan rasa tidak hormat terhadap perjalanan sidang DUN Pulau Pinang yang hanya dijalankan dua kali setahun itu.

"Saya harap Choo Kiang berani menyuarakan perkara ini dan tidak tunduk kepada kuasa Ketua Menteri, Lim Guan Eng atau EXCO kerajaan negeri yang lain.

"Justeru, beliau perlu bertindak secara adil dengan menghukum EXCO yang gagal menghadiri sidang DUN petang semalam, mengikut peruntukan dan peraturan dewan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Semalam, Choo Kiang menegur 10 EXCO dan ADUN kerajaan negeri pimpinan DAP yang gagal menghadiri sesi perbahasan pada sebelah petang, selepas menyedari separuh daripada kerusi dalam DUN Pulau Pinang kosong.

Teguran itu dibuat Choo Kiang sejurus sesi perbahasan ADUN Tanjung Bungah daripada DAP, Teh Yee Cheu mengenai alam sekitar, tamat pada jam 6 petang.

Tong Keong berkata, tindakan EXCO dan ADUN daripada DAP yang gagal menghadiri sidang DUN petang semalam, antara lain disifatkan sebagai tidak menghormati PKR sebagai rakan seperjuangan.

"Sudahlah sebelum ini peruntukan di kawasan Penanti dibekukan, kini mereka pula tidak hormat Speaker dan Timbalan Speaker DUN yang masing-masing daripada PKR.

"Lebih mengejutkan apabila Timbalan Speaker yang mempengerusikan sesi sidang DUN ketika itu juga tidak berani bersuara untuk meminta EXCO dan ADUN DAP untuk masuk ke dewan," katanya.

Source: http://www.bharian.com.my/node/285876

Search

Calendar

Top

Google+
Follow @partigerakan