Eksport sarung tangan meningkat 26 peratus

TELUK INTAN - Nilai eksport sarung tangan getah pada suku pertama tahun ini meningkat hampir 26 peratus kepada RM4,026 bilion berbanding RM3,204 bilion dalam tempoh yang sama pada tahun lepas.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong berkata, sejak dua dekad lepas, Malaysia kekal mendominasi eksport sarung tangan getah dengan menguasai lebih daripada 60 peratus pasaran dunia.

Jelasnya barangan getah negara kini dieksport ke lebih 195 negara di seluruh dunia dengan nilai eksport meningkat tiga kali ganda daripada RM5.4 bilion pada tahun 2000 kepada RM18.2 bilion pada tahun 2016.

"Daripada jumlah eksport pada tahun lepas, sebanyak 73 peratus atau RM13.3 bilion disumbangkan oleh sarung tangan getah perubatan.

"Malah bagi tempoh 2012 hingga 2016, eksport sarung tangan perubatan meningkat pada kadar purata 6 peratus setiap tahun, dan dijangkakan jumlah eksportnya boleh mencecah RM14.1 bilion pada tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Sumbangan 1 Juta Sarung Tangan Getah Perubatan anjuran Majlis Promosi Eksport Getah Malaysia (MREPC) dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Perak (JKNP) di Dataran Menara Condong di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, Siew Keong menyerahkan replika cek 1 juta sarung tangan getah kepada Pengarah Kesihatan negeri Perak Datuk Dr Hassan Merican sambil disaksikan Pengerusi MREPC Ahmad Lai Bujang dan Ketua Pegawai Eksekutif MREPC Low Yoke Kiew.

Inisiatif tersebut merupakan program turun padang bagi meningkatkan tahap kesedaran terhadap pentingny penggunaan sarung tangan dalam tugas seharian masyarakat, terutama dalam kalangan petugas sektor penjagaan kesihatan.

Siew Keong yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan berkata, sarung tangan tersebut akan disalurkan kepada hospital, klinik kesihatan, klinik pergigian dan pusat penjagaan kesihatan di seluruh Perak.

Sumbangan sarung tangan getah itu merupakan siri sumbangan MREPC yang kedua selepas siri pertama dilaksanakan di Kuching, Sarawak pada tahun lepas.

Siew Keong juga berkata, penggunaan sarung tangan getah per kapita di Asia masih berada pada tahap yang rendah iaitu 5.5 pasang setahun secara purata berbanding 75 pasang di Amerika Syarikat dan 50 pasang di Eropah.

Jelasnya lagi penggunaan sarung tangan getah di China kini berada pada tahap tiga pasang per kapita manakala di Malaysia 10 pasang setahun.

"Di Malaysia, beberapa agensi menggunakan sarung tangan yang diimport dan saya telah memberitahu mereka supaya menggunakan sarung tangan buatan Malaysia kerana ia menepati piawaian bertaraf dunia.

Beliau berkata, sarung tangan keluaran tempatan mempunyai kualiti yang baik dan harganya berpatutan dan menambah kebanyakan agensi kementerian juga menggunakan produk tempatan dan sudah pasti ia akan menyumbang kepada penggunaan sarung tangan buatan negara yang lebih tinggi selain berharap dapat memperluas eksport ke negara seperti China yang potensi pasarannya sangat besar. - Bernama

Source: http://www.sinarharian.com.my/nasional/eksport-sarung-tangan-meningkat-26-peratus-1.677900

Search

Calendar

Top

Google+
Follow @partigerakan