Gerakan dedah Kerajaan DAP Pulau Pinang menipu jumlah penjualan tanah negeri

15/2/2017- Berikutan sering memberi angka bercanggah berhubung keluasan tanah yang telah dijual agensi di bawah kerajaan negeri serta keuntungan yang diperoleh daripada penjualan tanah tersebut, Parti Gerakan negeri menggesa Kerajaan DAP Pulau Pinang perlu menjelaskan berapa sebenarnya keluasan dan keuntungan daripada penjualan tanah di negeri ini.

Bendahari Parti Gerakan negeri Ng Fook On berkata, sejak 2008, data berhubung perkara itu yang diumumkan kerajaan negeri sering bercanggah dengan laporan bertulis Dewan Undangan Negeri (DUN) serta Akaun Perbendaharaan Negeri.

Ini kerana katanya, laporan bertulis sidang DUN sebelum ini menunjukkan keuntungan penjualan tanah kerajaan negeri hanya kira-kira RM778 juta.

Namun, jumlah itu jauh berbeza dengan Laporan Ketua Audi Negara yang mendedahkan keuntungan hasil jualan tersebut mencecah RM1.45 bilion.

“Perbezaan jumlah keuntungan daripada dua laporan ini yang juga turut didedahkan akhbar Cina adalah sangat besar sekali gus tidak boleh diterima,” tegasnya.

Justeru, Fook On menggesa Kerajaan DAP Pulau Pinang perlu berterus terang berapa sebenarnya keluasan dan keuntungann daripada penjualan tanah tersebut berikutan perkara ini melibatkan penjualan tanah milik rakyat negeri ini.

Selain itu, Fook On juga meminta Kerajaan DAP Pulau Pinang perlu menjelaskan kepada penduduk negeri ini berhubung rancangan penjualan tanah negeri ini pada masa depan.

“Penduduk negeri ini sangat bimbang dengan pendekatan kerajaan negeri dalam mendapatkan sumber menerusi penjualan tanah yang seolah-olah tidak terkawal,” katanya.

Tambah beliau lagi, beliau menggesa penduduk negeri ini menilai pendekatan kerajaan negeri itu yang mengambil jalan mudah menjual aset negeri semata-mata untuk mencari modal.

Ini kerana katanya penjualan tanah ini akan mengundang implikasi buruk terhadap aspek sosio politik serta ekonomi negeri yang mana Pulau Pinang berisiko menjadi ‘tanah jajahan’ kepada syarikat swasta atau pemaju asing.

 
 
 
 

Search

Calendar

Top

Google+
Follow @partigerakan