Eksport minyak sawit Malaysia ke India akan tumbuh 5-10 peratus pada 2017

MUMBAI: Jumlah eksport minyak sawit dan produk minyak sawit Malaysia ke India akan berkembang lima hingga 10 peratus tahun ini berbanding tiga juta tan metrik bernilai AS$1.97 bilion (AS$1=RM4.43) pada 2016, kata Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

Menterinya, Datuk Seri Mah Siew Keong berkata, India dan Malaysia mempunyai hubungan sejarah dan budaya yang panjang, yang kini berkembang kepada hubungan diplomatik dan perdagangan yang sangat baik.

Penubuhan perkhidmatan penyelidikan dan teknikal Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) di Mumbai, dijadual siap pada Jun tahun ini, akan meningkatkan lagi imej minyak sawit di India dan seterusnya meningkatkan import komoditi tersebut, tambahnya.

“Walapun volumnya hanya kira-kira 30 peratus daripada jumlah import minyak sawit negara itu, kita sentiasa menghargai sokongan India dan mahu perdagangan antara kedua-dua negara terus berkembang,” katanya dalam ucaptama di Seminar Rangkaian yang diadakan sempena lawatan rasmi pertamanya ke India di Hotel ITC Maratha di sini, kelmarin.

Seminar tersebut meliputi pelbagai tajuk berkaitan aspek teknikal minyak sawit, isu kawal selia, cabaran pasaran serta ekonomi India dalam hubungan sektor minyak sayuran, dengan penceramah terdiri daripada pemimpin industri dan pakar daripada Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) serta MPOB.

Pasaran minyak dan lelemak India telah berkembang pesat daripada 7.2 juta tan metrik pada 1993 kepada 23.28 juta tan metrik pada 2016, meningkat hampir tiga kali ganda dalam tempoh 20 tahun lalu.

Mah berkata, dagangan minyak sawit antara Malaysia dan India dibina berdasarkan kepentingan bersama dan beliau berharap semua pihak akan merangsang peluang perdagangan dan perniagaan baharu dalam minyak sawit dan pelbagai derivatif sawit.   

“Walaupun menghadapi pelbagai cabaran, termasuk tekanan daripada pelindung alam sekitar dan lobi antisawit, saya percaya jika kita bersedia bekerjasama, perniagaan minyak dan lelemak boleh menangani cabaran terbabit.

“Ini akan membolehkan komuniti perniagaan untuk meraih manfaat daripada peningkatan permintaan dan bekalan untuk minyak sawit dan derivatifnya,” kata Mah.

Pada majlis berkenaan, menteri itu juga melancarkan risalah maklumat MPOB mengenai faedah minyak sawit dalam Hindi.

Mah yang mengadakan lawatan sehari ke India, sebelum itu mengetuai Misi Ekonomi dan Teknikal Mengenai Minyak Sawit, Produk Kayu dan Getah Malaysia ke Iran mulai 5 hingga 7 Februari.

Sebelum itu, beliau menemui Persatuan Pengekstrak Pelarut India (SEA) bagi membincangkan pelbagai isu berkaitan minyak sawit di negara tersebut.

Delegasi itu terdiri daripada wakil kementerian berkenaan, MPOC, MPOB, Majlis Perkayuan Malaysia serta Lembaga Getah Malaysia.

Presiden SEA, Atul Chaturved ketika pembentangan di seminar itu berkata, beliau optimis Malaysia mampu meningkatkan penguasaan pasaran minyak sawitnya di India melalui pelbagai promosi yang hebat.   

“Malaysia kini membekalkan kira-kira 30 peratus keperluan minyak sawit India. Saya yakin pada masa depan, di bawah kepemimpinan Mah, kita mungkin mencecah angka magik 50 peratus daripada keperluan,” katanya. — Bernama

 
 
 
 

Search

Calendar

Top

Google+
Follow @partigerakan