TN50 pelan kesinambungan kerajaan untuk generasi muda - Parti Gerakan Rakyat Malaysia

TN50 pelan kesinambungan kerajaan untuk generasi muda

KUALA LUMPUR – Pemuda Parti Gerakan Malaysia akan bersama-sama kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam menjayakan Transformasi Nasional 50 (TN50).

Itu tegas ketuanya, Tan Keng Liang dan sayap parti Gerakan itu melihat TN50 adalah sebuah pelan kesinambungan untuk melahirkan rakyat Malaysia berbilang kaum yang berfikiran ke hadapan.

“Bagi saya TN50 bukan program yang hendak menidakkan Wawasan 2020. Ia adalah perancangan untuk jangkamasa panjang bagi tempoh 30 tahun akan datang.

“Kita melihat TN50 adalah suatu pendekatan yang berpaksikan kepada akar umbi atau dari mundur kepada maju,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Gerakan di sini petang ini.

Keng Liang turut memuji sikap tenang dan berani Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam berdepan dan menjawab pelbagai soalan secara langsung dengan penuntut universiti di Universiti Malaya (UM), malam kelmarin.

Menurut Keng Liang, apa yang dirancang dalam minda Najib untuk menuju ke arah TN50 ialah sebuah dasar jangka panjang yang dirangka berdasarkan aspirasi generasi muda hari ini.

“Najib mahu melihat bagaimana Malaysia dalam tempoh tiga dekad akan datang dan TN50 yang menjadi kesinambungan kepada dasar 30 tahun terdahulu adalah visi rakyat kerana masa depan negara milik generasi muda hari ini,” ujar beliau.

Mengenai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), beliau berkata, parti itu melihat ia sebagai satu usaha kerajaan untuk meringankan beban rakyat miskin.

Katanya, beliau bersetuju dan menyambut baik bantuan BR1M ialah ia diberikan kepada semua golongan yang berpendapatan rendah termasuk Cina, India dan lain-lain kaum yang ada di negara ini.

Sehubungan itu, beliau memberi amaran kepada parti pembangkang agar tidak mempolitikkan BR1M untuk kepentingan diri kerana tindakan seperti itu boleh menjejaskan usaha kerajaan Barisan Nasional (BN) membantu rakyat.

Beliau juga turut menempelak kenyataan Penasihat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad yang turut berminat dengan BR1M jika Pakatan Harapan (PH) memerintah walaupun sebelum itu mereka mempertikaikannya.

“Sebelum ini mereka dakwa BR1M rasuah, tetapi kalau pembangkang memerintah, mereka mahu teruskan BR1M. Apa maksud mereka,” katanya. – MalaysiaGazette

 
 
 
 

Search

Calendar

Top

Follow @partigerakan