Gerakan sentiasa hormati Perlembagaan Persekutuan - Parti Gerakan Rakyat Malaysia

Gerakan sentiasa hormati Perlembagaan Persekutuan

KUALA LUMPUR 14 Jan. – Gerakan berharap isu ber­kenaan sekolah agama tidak lagi menjadi pertikai­an mana-mana pihak setelah Naib Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau memohon maaf dan menarik balik ke­nyataan itu semalam.

Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong berkata, Dominic juga telah menjelaskan perkara tersebut kepada jawatankuasa pusat parti yang mana kenyataannya itu telah disalah tafsir dan beliau tidak bermaksud untuk menyakitkan hati mana-mana pihak.

Bagaimanapun Siew Keong berkata, selepas ini beliau mahu pemimpin dan ahli parti itu untuk lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan yang berkaitan dengan isu rakyat.

“Kami prihatin dan sedar mengenai kenya­taan tersebut yang telah dibangkitkan oleh banyak pihak.

“Dominic juga pada hari yang sama telah memohon maaf jika kenyataannya te­lah mengguris hati dan saya minta semua ahli berhati-hati memberi kenyataan dan fokus kepada bagaimana menyelesaikan masalah rakyat,” katanya ketika sidang akhbar di Pejabat Ge­rakan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta me­ngulas mengenai Dominic yang dilaporkan menggesa kerajaan mengkaji semula dasar-dasar sekolah agama dan mengatakan sekolah agama adalah ancaman sebenar perpaduan di negara ini dan bukannya sekolah vernakular.

Bagaimanapun, Dominic memohon maaf dan menarik balik kenyataan itu.

Menurut Siew Keong, sebagai sebuah parti komponen Barisan Nasional (BN) Gerakan sentiasa konsisten serta teguh dalam mendukung Perlembagaan Persekutuan.

Malah katanya, parti itu turut memberi peruntukan dan bantuan kepada sekolah agama, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan lain-lain kerana percaya bahawa institusi pendidikan memainkan peranan penting dalam membina negara ini.

Dalam perkembangan lain, Siew Keong berkata, Gerakan telah melantik 45 penyelaras di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara termasuk di Pulau Pinang sebagai persediaan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Penyelaras ini bukan bermaksud mereka adalah calon bagi pilihan raya ke­rana keputusan akhir akan dibuat oleh pucuk pimpinan BN nanti.

“Penyelaras ini dilantik kerana kita mahu mereka dekati dah selesaikan masalah rakyat di kawasan berkenaan,” jelasnya.

 

Source: https://m.utusan.com.my/berita/politik/gerakan-sentiasa-hormati-perlembagaan-persekutuan-1.431615

Search

Calendar

Top

Follow @partigerakan