Kes Jason Loo dipindah ke Mahkamah Tinggi

KUALA LUMPUR - Permohonan pemangku Ketua Pemuda Gerakan Pulau Pinang Jason Loo Jieh Sheng memindahkan kes saman yang difailkan terhadapnya berhubung projek terowong dasar laut dan tiga lebuh raya negeri ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, akan didengar 7 April tahun depan.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Nurul Ain Hamzah menetapkan tarikh itu di dalam kamarnya dengan dihadiri peguam Ong Siang Liang, mewakili Jason ketika pengurusan kes saman berkenaan hari ini.

Siang Liang ketika ditemui pemberita berkata permohonan untuk memindahkan kes itu akan didengar di hadapan hakim yang akan ditetapkan kemudian dan mahkamah turut menetapkan 6 Feb untuk pengurusan kes.

Jason memohon supaya kes saman yang difailkan Consortium Zenith BUCG Sdn Bhd terhadapnya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang atas alasan isu yang dipersoalkan (projek terowong dasar laut), melibatkan negeri berkenaan.

Pada 8 Ogos lepas, syarikat yang diberi kepercayaan membina terowong itu, Consortium Zenith memfailkan saman selepas mendakwa Jason selaku defendan, pada 23 Jun lepas, telah mengeluarkan kata-kata berunsur fitnah terhadap syarikat itu, yang kemudian diterbitkan dalam portal berita Malaysiakini pada hari sama.

Syarikat itu, selaku plaintif mendakwa Jason yang membuat kenyataan tersebut kepada wartawan turut mempersoal kredibiliti kerja syarikat terbabit selain mendakwa ia tidak boleh dipercayai, tidak jujur, penipu dan terlibat dalam aktiviti rasuah.

Syarikat berkenaan yang mendakwa reputasinya terjejas akibat kenyataan fitnah itu menuntut ganti rugi am, teladan dan melampau, faedah, kos serta relif lain difikirkan sesuai oleh mahkamah selain memohon satu injunksi untuk menghalang defendan atau pekerjanya daripada menerbitkan semula perkataan fitnah.

Consortium Zenith, dalam pernyataan tuntutannya berkata pada 6 Oktober 2013 syarikat itu diberikan kontrak oleh kerajaan negeri Pulau Pinang untuk menjalankan kajian dan reka bentuk terperinci projek terowong dasar laut serta tiga jalan utama di negeri itu.

Tiga projek lebuh raya itu ialah jalan berkembar 12 kilometer (km) dari Jalan Tanjung Bungah ke Teluk Bahang; lencongan 4.6 km dari Air Itam ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu dan lencongan 4.2 km dari Gurney Drive ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu.

Sementara itu, Jason dalam pernyataan pembelaannya menafikan beliau pernah menyebut nama Consortium Zenith ketika membuat kenyataan kepada wartawan pada 23 Jun lepas sebaliknya hanya merujuk kepada wakil-wakil atau pegawai-pegawai kerajaan negeri Pulau Pinang.

Jason semasa memfailkan tuntutan balas terhadap saman itu mendakwa beliau turut difitnah syarikat berkenaan dan mendakwa syarikat itu tidak memberikan gambaran sebenar tentang fakta, isi dan mengelirukan semua pihak dengan mengambil tindakan saman secara melulu terhadapnya. - Bernama





Source: http://www.sinarharian.com.my/semasa/kes-jason-loo-dipindah-ke-mahkamah-tinggi-1.588757

Search

Calendar

Top

Google+
Follow @partigerakan