Penduduk, NGO bantah projek pusat penyembelihan ayam

KUALA LUMPUR - Cadangan bagi projek pembinaan pusat penyembelihan ayam di Pasar Harian Selayang, perlu dibatalkan kerana hanya akan menimbulkan masalah untuk jangka masa panjang terutamanya kepada penduduk di empat kawasan perumahan berhampiran.

Bantahan itu dikemukakan lapan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), termasuk empat persatuan penduduk bagi Taman Wilayah Selayang, Taman Sri Murni, Taman Desa Bakti dan Kampung Selayang Lama.

Pengerusi Gabungan Persatuan-Persatuan Penduduk berkenaan, Mohammad Noor Said berkata, kira-kira 3,000 penduduk berisiko menerima kesan negatif sekiranya projek itu diteruskan berikutan pelbagai masalah akan timbul.

Menurutnya, isu kesesakan lalu lintas dan ancaman wabak penyakit menjadi antara perkara utama yang menjadi kebimbangan penduduk.

“Bayangkan apabila pusat ini beroperasi, ratusan lori-lori ayam akan keluar masuk untuk proses penyembelihan, kemudian selepas selesai sembelih, untuk dibawa keluar pula bagi bekalan seluruh Kuala Lumpur. Masalah bau pasti akan timbul.

“Kita juga bimbang berlaku penularan wabak seperti selesema burung tambahan pula dengan keadaan kepadatan penduduk yang sangat tinggi di kawasan ini,” katanya.

Beliau berkata, penduduk sudah cukup terseksa dengan keadaan kesesakan dan kekotoran di kawasan itu sekarang, apatah lagi apabila pusat itu beroperasi kelak.

“Tidak ada jalan penyelesaian walaupun diberi jaminan. Pada saya, jaminan apa pun tidak boleh dipercayai kerana semuanya hanya atas kertas. Masalah tetap akan timbul pada masa akan datang.

“Melainkan pindahkan tapak cadangan ke kawasan lain. Saya lihat Jalan Bellamy mungkin tapak paling sesuai kerana tiada pembangunan di situ,” katanya.

Terdahulu, berlangsung bantahan di tapak projek berkenaan yang juga tapak Pasar Harian Selayang, dihadiri lebih 500 penduduk termasuk wakil-wakil NGO terlibat iaitu Persatuan Perniagaan Borang Kecil Pasar Borong Kuala Lumpur, Persatuan Perayaan Por Tor Pasar Borong Lama dan Rumah Amal Cheshire Selangor.

Satu memorandum bantahan diserahkan kepada Naib Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia merangkap Penyelaras Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Batu, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai.

Sementara itu, Dr Dominic berkata, kerajaan sepatutnya memberi jaminan dan maklumat jelas berhubung projek itu.

Ujarnya, sehingga kini, tiada maklumat terperinci berhubung kaedah pelaksanaan projek pusat berkenaan terutamanya berkaitan teknologi dan kaedah operasi pusat itu nanti.

“Saya akan bawa memorandum ini kepada presiden parti untuk dihantar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, dalam masa terdekat,” katanya.



Source: http://www.sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/penduduk-ngo-bantah-projek-pusat-penyembelihan-ayam-1.566250

Search

Calendar

Top

Google+
Follow @partigerakan