Hak Adenan melantik timbalannya – GERAKAN

KUALA LUMPUR: Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem berhak melantik mana-mana wakil rakyat sebagai timbalannya kerana ia di bawah bidang kuasanya.

Demikian ulas Presiden GERAKAN Datuk Seri Mah Siew Keong mengenai tindakan Adenan yang tidak melantik pemimpin Cina sebagai salah seorang daripada tiga timbalannya.

“Soal itu kita serahkan kepada Ketua Menteri untuk buat keputusan. Perkara itu di bawah bidang kuasanya,” katanya ketika ditemui pemberita dalam satu acara hari ini.

Ketika pengumuman kabinet baharu Sarawak selepas menang besar dalam Pilihanraya Negeri minggu lalu, Adenan mengumumkan Datuk Amar Douglas Uggah, Tan Sri Dr James Jemut Masing dan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg sebagai Timbalan Ketua Menteri.

Ia dilihat bertentangan dengan kenyataannya seperti yang dilaporkan The Borneo Post 29 April lalu, untuk melantik salah seorang pemimpin Cina sebagai sebagai Timbalan Ketua Menteri jika pengundi Cina mengundi SUPP dan menolak DAP.

Namun memetik laporan Malaysiakini semalam, Adenan menafikan perkara itu dan menjelaskan beliau hanya berjanji untuk melantik pemimpin Cina sebagai menteri negeri bagi mewakili masyarakat itu.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Teluk Intan itu juga yakin sebahagian pengundi Cina akan kembali kepada BN pada Pilihanraya Kecil Kuala Kangsar dan Sungai Besar, jika dilihat kepada trend pengundian masyarakat itu pada PRN Sarawak.

“Memang pengundi Cina di Sarawak berbeza dengan Semenanjung. Namun jika dibandingkan dengan keputusan PRN lalu, jelas sokongan Cina sudah kembali (di Sarawak).

“Ini memberikan galakan kepada kita, dan saya yakin sebahagian pengundi Cina akan kembali kepada BN pada dua PRK ini,” katanya lagi.

Parlimen Kuala Kangsar memiliki 24 peratus pengundi Cina manakala Parlimen Sungai Besar 31 peratus. Dua PRK ini akan diadakan serentak pada 18 Jun ini.

Beliau turut memaklumkan bahawa GERAKAN telahpun menubuhkan jawatankuasa kerja di Sungai Besar dan Kuala Kangsar bagi membantu BN menghadapi PRK yang akan diadakan serentak.




Source: 

Search

Calendar

Top

Google+
Follow @partigerakan