Banjir kilat: DBKL cadang pasang paip bawah tanah

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mencadangkan pemasangan paip bawah tanah di Pasar Batu 4 1/2 di Jalan Klang Lama, di sini, bagi menyelesaikan masalah banjir kilat yang berlaku di kawasan itu baru-baru ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Kejuruteraan Awam dan Pengangkutan Bandar DBKL, Sabudin Mohd Saleh berkata, paip bawah tanah itu dicadang dipasang bermula dari pasar itu sehingga ke seberang jalan iaitu menghala ke Sungai Klang bagi melancarkan saliran air.

"Kejadian banjir kilat ini adalah disebabkan projek pembangunan perumahan yang berhampiran pasar, jadi paip sedia ada tidak mampu menampung sistem saliran di kawasan tersebut," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.   

Bagaimanapun, Sabudin berkata, cadangan tersebut masih di peringkat perbincangan dan kajian terperinci perlu dilakukan sebelum pelaksanaannya.

Sementara itu, Ahli Lembaga Penasihat Bandaraya Kuala Lumpur, Datuk Wilson Lau Hoi Keong yang meninjau keadaan di pasar berkenaan hari ini, berkata banjir kilat pada 2 Mei lepas menjejaskan kira-kira 100 peniaga di pasar itu.

Katanya susulan daripada tinjauan itu, DBKL akan mengadakan pertemuan dengan peniaga, Persatuan Penjaja Pasar Batu 4 Jalan Klang Lama, syarikat konsesi Alam Flora Sdn Bhd dan pihak pemaju perumahan yang berhampiran pasar tersebut bagi menyelesaikan masalah itu. - Bernama



Source: 

Search

Calendar

Top

Google+
Follow @partigerakan