Kenyataan Guan Eng hanya selamatkan diri

PULAU PINANG 2 Mei - Kenyataan Ketua Menteri, Lim Guan Eng kononnya dokumen mengenai syarikat ahli perniagaan Phang Li Koon yang dihantar kepada kerajaan negeri adalah fitnah, tidak menjelaskan dakwaan sebenar berhubung pendedahan itu.

Pemangku Ketua Pemuda Gerakan, Jason Loo berkata, kenyataan Guan Eng itu juga ibarat cuba meng­elak atau menyelamatkan diri daripada menjelaskan perkara sebenar.

Menurut beliau, Guan Eng seharusnya mempunyai penjelasan lebih tepat berhubung dakwaan itu apatah lagi perkara tersebut berkait dengan akuan bersumpah (SD) yang dibuat Li Koon atau dikenali sebagai Miss Phang.

“Adakah Guan Eng beranggapan isu ini akan selesai dengan beliau menuduh semua perkara yang didedahkan adalah fitnah semata-mata?

“Jika dokumen yang didedahkan itu adalah fitnah, maka sudah semestinya kerajaan negeri mempunyai alasan munasabah untuk menjelaskannya kepada rakyat, bukan berterusan mengelak dan menyalahkan pihak lain,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Selepas sekian lama mengelak daripada menjawab isu berkenaan surat itu, Guan Eng akhirnya memberi reaksi, namun dengan hanya mendakwa pendedahan tersebut adalah fitnah.

Sebelum ini, pelbagai pihak mendesak Kerajaan DAP Pulau Pinang menjelaskan mengenai status surat yang ditandatangani Miss Phang selaku Pengarah Magnificent Emblem Sdn. Bhd. (Magnificent Emblem) kepada anak syarikat kerajaan negeri, Penang Development Corp. (PDC) berhubung cadangan sebuah projek yang dianggarkan bernilai antara RM25 juta hingga RM30 juta.

Surat itu mencetuskan pertikai­an kerana dilihat bertentangan dengan kandungan SD yang dibuat Miss Phang pada 22 Mac lalu menafikan mempunyai hubungan dengan kerajaan negeri.

Miss Phang terpaksa membuat SD itu selepas terpalit dengan kontroversi penjualan banglonya kepada Guan Eng pada harga luar biasa murah yang turut dikaitkan dengan skandal penjualan tanah Taman Manggis.

Dalam pada itu Jason berkata, pihaknya tidak mempertikai sama ada syarikat wanita itu memperoleh mana-mana projek atau tanah daripada kerajaan negeri kerana isu tersebut bukan perkara utama yang dibangkitkan.

Sebaliknya, kata beliau, apa yang perlu dijelaskan Kerajaan DAP Pulau Pinang ialah sama ada Miss Phang menerusi mana-mana syarikat sememangnya mempunyai sebarang bentuk hubungan atau ker­ja­sama dengan kerajaan negeri.

“Ini adalah persoalan besar kerana dapat menjawab kebenaran SD yang dibuat Miss Phang sekali gus merungkai misteri mengapa SD itu tidak dibacakan sendiri oleh beliau,” katanya.




Source: http://m.utusan.com.my/berita/politik/kenyataan-guan-eng-hanya-selamatkan-diri-1.307489

Search

Calendar

Top

Google+
Follow @partigerakan