Theme (BM) 2016

TEMA PERSIDANGAN PERWAKILAN KEBANGSAAN KE-45 TAHUN 2016

PARTI GERAKAN RAKYAT MALAYSIA

 “BERSATU DEMI KEMAJUAN DAN KEMAKMURAN”

Tema Persidangan Perwakilan Kebangsaan (NDC) Parti Gerakan Rakyat Malaysia (PGRM) pada tahun ini adalah PGRM merayu serta menggesa rakan-rakan bersatu demi mencapai kemakmuran dan kemajuan. Gerakan adalah sebuah parti berasaskan penyelesaian. Kita percaya bahawa tindakan lebih berkesan berbanding kata-kata. Kita tidak membuang masa untuk menyemarakkan api politik tetapi sebaliknya menumpukan usaha untuk bergerak maju dan makmur untuk semua rakyat Malaysia.

Ini juga merupakan seruan kepada rakyat Malaysia untuk bersatu meskipun terganggu dengan getaran dan suara-suara sumbang politik. Hanya melalui perpaduan kita mampu mencapai kemajuan. Sebuah rumah yang berpecah belah tidak boleh berdiri teguh. Adalah menjadi tanggungjawab rakyat Malaysia untuk memastikan negara terus berkembang dan makmur kerana ini akan memastikan pendapatan dan ketidaksamaan sosial berkurangan.  Ini adalah selaras dengan tujuan dan matlamat parti iaitu antara lain untuk memastikan pertumbuhan yang adil dan saksama demi faedah seluruh rakyat Malaysia.

Kita mesti terus bekerjasama dengan kerajaan bagi memastikan dasar dan inisiatif berteraskan insan memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat. Kita mesti secara konstruktif melibatkan semua pihak yang berkepentingan untuk meneruskan objektif-objektif Gerakan namun kita juga harus melaksanakannya tanpa menjejas nilai-nilai politik kita.

Gerakan akan terus memainkan peranannya dalam membina sebuah bangsa Malaysia bahkan kita menyeru kepada semua rakyat Malaysia agar bersatu demi kemajuan dan kemakmuran dan seharusnya ingat bahawa sebagai rakyat, kita boleh mencapai lebih banyak jika kita bersatu padu.

 

RESOLUSI PERSIDANGAN PERWAKILAN KEBANGSAAN KE-45 TAHUN 2016

PARTI GERAKAN RAKYAT MALAYSIA

KAMI, PERWAKILAN, Persidangan Perwakilan Kebangsaan ke-45 (NDC) 2016 Parti Gerakan Rakyat Malaysia (PGRM):

A. Memperingati ulang tahun Kemerdekaan ke-59 dan ulang tahun ke-53 penubuhan Malaysia yang telah dicapai bersama oleh Bapa Pengasas daripada semua kumpulan etnik dengan semangat patriotik, kekitaan,   kerjasama, saling menghormati, kesefahaman selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

B. Meneruskan perjuangan untuk membina sebuah negara Malaysia yang bersatu padu, demokratik, adil, liberal dan progresif, mengikut prinsip-prinsip Rukun Negara dan Wawasan 2020.

C. Mengiktiraf, memahami, berkongsi dan bersetuju dengan keresahan majoriti rakyat Malaysia berhubung isu-isu berikut:

I. Menegakkan dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara dan menentang sebarang percubaan untuk mengubah asas-asas kenegaraan;

II. Kesederhanaan dan keterangkuman sebagai cara hidup rakyat Malaysia bagi memastikan perpaduan negara dapat diteruskan dan dikekalkan;

III. Tadbir urus yang baik, penguatkuasaan yang telus serta sektor awam yang berorientasikan keputusan;

IV. Program Transformasi Negara perlu diteruskan pada masa akan datang;

V. Perdagangan dan pelaburan yang lebih besar, belanjawan berhemah serta dasar monetari yang akomodatif;

VI. Pengagihan kekayaan dan pendapatan negara yang adil bagi mengurangkan jurang pendapatan serta memastikan keadilan sosial;

VII. Bantuan berterusan kepada golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) serta bantuan kepada isu rumah kelas pertengahan;

VIII. Mempertingkatkan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan tempatan dan menangani isu-isu setempat secara berkesan;

IX. Menangani kebimbangan yang semakin meningkat terhadap ekstremisme dan ancaman Negara Islam Iraq dan Syria (Daesh);

X. Menyokong usaha kerajaan untuk menambah baik sistem pendidikan negara.

XI. Pemuliharaan alam sekitar melalui inisiatif dan peraturan kerajaan serta memastikan Malaysia memenuhi komitmen COP21; dan

XII. Pembahagian kekuasaan yang adil kepada negeri-negeri dan penurunan kuasa kepada Sabah dan Sarawak selaras dengan Perjanjian Malaysia.

DENGAN INI, KAMI MEMUTUSKAN:

1. Bahawasanya, Perlembagaan Persekutuan mesti terus diinterpretasi, difahami dan dihayati secara keseluruhannya, dan dengan cara yang komprehensif dan inklusif; ditegak, dipertahankan dan diimplementasikan dengan secara adil.

2. Bahawasanya, semangat Rukun Negara hendaklah dipergiatkan semula, ditegaskan lagi, ditekan semula, diamalkan dan dihayati oleh semua warga Malaysia.

3. Bahawasanya, struktur asas kenegaraan jangan sama sekali diubah. Semua tindakan hendaklah ditafsirkan bukan sahaja selaras dengan semangat Perlembagaan Persekutuan, tetapi juga asas-asas kenegaraan. Cubaan merbahaya dan mementingkan diri sendiri yang menjejaskan integriti Perlembagaan Persekutuan haruslah dikutuk dan diberhentikan dengan secara sedar dan kolektif.

4. Cara hidup rakyat Malaysia hendaklah dipertahankan pada semua kos tanpa mengira sebarang keadaan. Kesederhanaan dan keterangkuman adalah panduan mulia yang tidak berbelah bagi semua rakyat Malaysia untuk maju ke hadapan sebagai sebuah negara yang bersatu padu. Kepelbagaian masyarakat Malaysia hendaklah diterima dengan sepenuh hati dan jadikan sebagai kekuatan dalam mengharung kisah kejayaan negara.

5. Kerajaan perlu meneruskan komitmen untuk melaksanakan tadbir urus yang baik dan penguatkuasaan yang telus dalam entiti sektor awam. Penekanan berterusan mengenai integriti, kecekapan dan profesionalisme yang diperlukan untuk menghasilkan sebuah kerajaan yang berkesan, disokong secara meluas oleh rakyat serta masyarakat sivil. Pemimpin-pemimpin kerajaan hendaklah memimpin melalui teladan bagi memupuk kepercayaan orang ramai serta memenuhi harapan rakyat. Kecekapan amat diperlukan untuk memacu pembangunan penyampaian perkhidmatan awam yang berkualiti.

6. Program National Transformation (NTP) yang terdiri daripada dua komponen utama Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Program Transformasi Kerajaan (GTP) perlu terus menggalakkan pertumbuhan yang seimbang, mampan dan inklusif dalam bidang sosio-ekonomi. Sejak dimulakan pada tahun 2009, NTP telah mencapai kejayaan yang memberi impak besar. NTP perlu diberi penekanan yang berterusan dan kemudahan dalam agenda pembangunan negara untuk memajukan serta mengembangkan peranannya mengemudi usaha Malaysia untuk mencapai status maju dan berpendapatan tinggi pada tahun 2020.

7. Perdagangan dan pelaburan adalah amat penting kepada kesihatan ekonomi negara. Melalui perdagangan kita dapat mengembangkan ekonomi dan mewujudkan peluang pekerjaan yang mencukupi. Rancangan besar dan menyeluruh diperlukan untuk membina kapasiti kerajaan, pemain industri penting dan rakan-rakan dengan penambahbaikan sistemik bagi mempermudahkan perdagangan dan pelaburan yang lebih besar. Hubungan positif antara keterbukaan perdagangan dan peningkatan tahap pelaburan langsung asing (FDI) sudah semestinya pasti. Gerakan sentiasa menyokong langkah-langkah untuk meningkatkan perdagangan termasuklah Perkongsian Trans-Pasifik (TPP).

8. Ia adalah sama penting bagi kerajaan untuk melaksanakan belanjawan yang berhemah dan meneruskan komitmennya untuk pengukuhan fiskal di samping mengamalkan dasar kewangan yang sesuai untuk menampung ketidakpastian dan cabaran. Memandangkan keadaan ekonomi global yang kini mencabar adalah penting untuk rakyat Malaysia, termasuk kerajaan, berbelanja secara bijak dan optimum.

9. Pengagihan kekayaan dan peluang negara di kalangan rakyat Malaysia hendaklah adil dan saksama. Pertumbuhan ekonomi yang mapan perlu diterjemahkan kepada pendapatan yang memberi manfaat kepada rakyat. Kerajaan perlu terus menangani kebimbangan rakyat di atas kenaikan kos sara hidup serta peningkatan pendapatan yang tidak seimbang. Rasionalisasi subsidi hendaklah diteruskan untuk memastikan kestabilan ekonomi jangka panjang. Namun begitu kami menyeru kepada kerajaan agar meningkatkan jumlah Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) untuk memastikan keadilan sosial.

10. Gerakan juga menyeru kerajaan untuk menyediakan lebih banyak bantuan untuk keluarga berpendapatan sederhana dalam bentuk pengecualian cukai dan pelbagai insentif lain bagi meringankan beban kewangan mereka.

11. Sebagai peringkat yang paling rendah dalam sistem kerajaan di Malaysia selepas persekutuan dan negeri, kerajaan tempatan adalah yang paling hampir dengan rakyat. Peranan penting dan tanggungjawabnya dalam perancangan dan pemantauan, penyampaian perkhidmatan, penggubal undang-undang dan penguatkuasaan, pembangunan dasar, perwakilan dan sokongan secara langsung akan memberi kesan kepada mata pencarian, kesejahteraan dan kemakmuran keseluruhan kawasan di bawah bidang kuasanya. Kini tiba masanya kita memberi pengiktirafan rasmi kepada peranan penting yang dimainkan oleh kerajaan tempatan dan menyediakan sokongan yang diperlukan.

12. Selain daripada membendung kemasukan kegiatan keganasan Daesh, perhatian yang sama hendaklah ditumpukan kepada menangani isu ekstremisme tempatan atau domestik yang berpunca hasil kegiatan fanatik dan pelampau agama. Malaysia adalah sebuah negara pelbagai kaum yang mengkhususkan kepada demokrasi dan masyarakat majmuk. Kita harus menghargai dan meraikan kepelbagaian dan kebebasan kita dan bukan cuba untuk mengakhirinya.

13. Keganasan tiada kaitan dengan mana-mana agama. Kami dengan keras mengutuk penyebaran ekstremisme sebagai satu cara untuk meluaskan kepentingan politik. Agama dan bangsa tidak boleh digunakan sebagai alat politik atau kuasa politik, tindakan tidak bertanggungjawab dengan mengambil kesempatan ke atas perbalahan agama dan menyemarakkan kebencian atau rasa takut, seharusnya dikecam.

14. Pendidikan berkualiti adalah penting demi menjamin masa depan negara di samping memupuk modal insan dan bakat para belia. Pendidikan tidak sepatutnya dipolitikkan, sebaliknya ia harus menggalakkan kecemerlangan, memanfaatkan potensi belia bagi tujuan menyatupadukan dan bukannya memecah-belahkan. Kami menyambut baik usaha kerajaan yang serius dan telus untuk meningkatkan kedudukan universiti Malaysia di peringkat dunia dan memastikan kejayaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia.

15. Kebimbangan terhadap kemusnahan alam sekitar adalah nyata dan sering diabaikan oleh pihak berkuasa. Kurangnya kesedaran dan penguatkuasaan yang lemah perlu diatasi dengan bersungguh-sungguh demi pemuliharaan dan perlindungan alam sekitar. Kekurangan sumber dan kemusnahan ekosistem telah membawa kepada kemerosotan kualiti hidup hasil daripada perlombongan pasir secara haram, hakisan tanah dan penebangan hutan secara besar-besaran adalah jelas. Kita menuntut penguatkuasaan yang ketat dan hukuman lebih tegas terhadap pesalah alam sekitar yang disabitkan kesalahan malah kerajaan perlu tegas dalam melaksanakan komitmennya berhubung COP 21.

16. Kami turut ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Perdana Menteri atas usaha yang diambil oleh beliau untuk mengembalikan keseimbangan kuasa di antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri terutama di Sabah dan Sarawak selaras dengan Perjanjian Malaysia. Walau bagaimanapun, kami menegaskan sekali lagi bahawa proses ini perlu saling menguntungkan dan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

Search

Calendar

Gerakan Matters

Top

Google+
Follow @partigerakan