Print this page

Bantah laluan khas basikal

TAMAN MUDA – Penduduk di beberapa taman perumahan di sini, membantah laluan khas untuk penunggang basikal yang disediakan oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Bantahan itu dibuat berikutan mereka mendakwa laluan itu dipercayai berisiko kepada pengguna jalan raya.

Timbalan Ketua Biro Perkhidmatan dan Aduan Awam Gerakan, Ben Liew Pok Boon berkata, pihaknya menyokong hasrat pihak berkuasa tempatan itu dalam usaha membudayakan sukan berbasikal sebagai cara hidup sihat dalam kalangan masyarakat.

“Bagaimanapun, MPAJ perlu mengkaji semula laluan khas basikal di sini demi keselamatan penunggang basikal,” katanya.

Beliau berkata, laluan khas basikal ini dianggarkan sepanjang 3.5 kilometer, sebahagiannya berada di jalan utama seperti Jalan Bunga Raya dan Jalan Pandan Utama.

“Keluasan laluan ini juga agak kecil dan tidak sesuai untuk penunggang basikal,” katanya.

Katanya, penunggang basikal mesti berhati-hati dan tidak mengambil mudah tentang keselamatan diri ketika berkayuh. Mereka juga perlu perhatikan kenderaan yang keluar masuk pada setiap persimpangan jalan.

“Kebanyakan pengguna jalan raya lain tidak memperlahankan kenderaan dan penunggang basikal juga berhadapan dengan risiko bahaya apabila kenderaan yang melalui jalan ini berada terlalu hampir dengan penunggang basikal,” katanya.

Sementara itu seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Robert berkata, dia juga penunggang basikal meluahkan kerisauan untuk menggunakan laluan khas tersebut.

“MPAJ seharusnya mengkaji dahulu laluan khas serta aliran trafik di jalan ini sama ada ia bersesuaian atau tidak untuk penunggang basikal,” katanya.