Selepas air, apakah tarif elektrik pula akan dinaikkan?

PULAU PINANG 10 Jan. - Parti Gerakan mempersoalkan sama ada Kerajaan Negeri Pulau Pinang ada mendapatkan maklum balas daripada penduduk negeri ini berhubung cadangan menaikkan kadar tarif air seperti diumumkan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow semalam.

Timbalan Presidennya, Oh Tong Keong berkata, maklum balas daripada pelbagai lapisan masyarakat itu perlu diperoleh terlebih dahulu berdasarkan amalan kerajaan negeri seperti yang sering dilaungkan.

Tambah beliau, sekiranya maklum balas itu sudah dilakukan, kerajaan negeri didesak mendedahkannya kepada umum sama ada kenaikan tarif air yang dicadangkan tersebut benar-benar disokong dan diterima rakyat.

“Selain itu, apa justifikasi yang diguna pakai kerajaan negeri dalam mewajarkan kenaikan tarif air itu? Adakah kerana disebabkan kos-kos tertentu?

“Semua persoalan ini perlu dijelaskan terlebih dahulu kepada penduduk negeri ini sebelum kerajaan negeri sewenang-wenangnya mahu menaikkan tarif air,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam pada itu, Tong Keong yang juga Pengerusi Gerakan negeri mempersoalkan sama ada Kerajaan Negeri Pulau Pinang benar-benar mengambil kira kebajikan rakyat dalam cadangan kenaikan tarif air itu.

Katanya, rakyat ketika ini sudah sedia terbeban dengan pelbagai kenaikan harga serta kos sara hidup yang tinggi dan pengumuman kenaikan tarif air itu bukan sesuatu yang diharapkan rakyat.

“Sebelum ini juga harga gas memasak turut dinaikkan, apakah selepas ini Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mahu menaikkan pula tarif elektrik?” katanya.

Dalam masa sama, Tong Keong turut melahirkan kebimbangan dengan kenyataan Kon Yeow yang akan menghapuskan surcaj penjimatan air (SPA) sebaik sahaja tarif baharu itu berkuat kuasa.

Katanya, pemansuhan SPA itu hanya akan membuka ruang kepada kenaikan tarif air yang lebih besar kepada penduduk negeri ini pada masa depan. – UTUSAN ONLINE

 

Source: https://goo.gl/pcaU8J

Search

Calendar

Gerakan Matters

VIDEO

Top

Google+
Follow @partigerakan