President Speech (BM) 2016

UCAPAN DASAR SDR. MAH SIEW KEONG

PRESIDEN NASIONAL PARTI GERAKAN RAKYAT MALAYSIA (GERAKAN)

PERSIDANGAN PERWAKILAN NASIONAL KE-45, 2016

AHAD, 9 OKTOBER 2016

 

Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para hadirin yang menghadiri Persidangan Perwakilan Nasional (NDC) Parti Gerakan Rakyat Malaysia yang Ke-45 ini.  Kami amat berbesar hati dengan kehadiran rakan-rakan daripada Barisan Nasional (BN), wakil-wakil kedutaan asing, pertubuhan bukan kerajaan NGO serta rakan-rakan media. Saya mengalu-alukan kehadiran perwakilan serta mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang telah bekerja keras dan bertungkus lumus bagi memastikan kejayaan NDC pada tahun ini.

 

A.      CABARAN DAN PELUANG

A1.     Pada tahun lepas, saya mengulas bagaimana kita harus menangani pergolakan dalam dunia kita. Dalam tempoh setahun kebelakangan ini, cabaran telah menjadi semakin membimbangkan. Kita kini berhadapan dengan kemelesetan pertumbuhan ekonomi global, kejatuhan harga komoditi, serangan pengganas di Asia, Eropah, mahupun Amerika Syarikat, sikap tidak bertoleransi terhadap kaum dan agama yang semakin meningkat serta ketidaksamaan pendapatan yang semakin teruk. China juga mengalami kelembapan dalam pertumbuhan ekonominya. Dalam Kesatuan Eropah (EU), krisis hutang berterusan, kadar pengangguran kekal tinggi, dan pelaburan masih rendah. Kadar pertumbuhan dijangka turun hingga 1.6% dan negara- negara anggota masih terus bergelut.

A2.    Malaysia tidak terkecuali daripada semua krisis dan cabaran tersebut, kerana kita mengamalkan ekonomi dan masyarakat terbuka yang berkait rapat dengan seluruh dunia kerana kemajuan komunikasi dan pengangkutan. Namun begitu, Malaysia masih terus menikmati pertumbuhan ekonomi yang sihat sebanyak 4.1% pada separuh pertama tahun 2016. Kita terus mengekalkan lebihan dagangan walaupun pertumbuhan ekonomi rakan-rakan dagangan utama kita telah menjadi perlahan. Walaupun berlaku penurunan dalam pendapatan kerajaan, kita dapat mengekalkan defisit fiskal pada 3.1% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Ini semua menguatkan lagi keyakinan pasaran terhadap pengurusan ekonomi oleh kerajaan kita.

A3.    Malaysia juga terlindung daripada serangan Negara Islam Iraq dan Syria (Daesh). Daesh tidak menghormati amalan hidup, kepercayaan dan nilai-nilai kita dan mereka sama sekali tidak melambangkan Islam. Namun begitu, kita masih perlu mengambil serius akan ancaman ini. Polis telah membanteras beberapa serangan yang dirancang dan kita terhutang budi kepada mereka yang sentiasa memastikan keselamatan kita. Malaysia akan terus mara ke hadapan kerana penggubalan dasar yang bernas dan berfokus serta komitmen daripada seluruh rakyat Malaysia supaya memastikan negara kita kekal aman dan harmoni.

A4.      Kerjasama serantau di ASEAN dan Komuniti Asia Timur terus meraih momentum. Ini amat berbeza dengan arah aliran di Eropah dan Amerika Syarikat di mana pergerakan sayap kanan ekstremis telah mendapat tempat buat pertama kali sejak Perang Dunia II. Keputusan United Kingdom untuk meninggalkan Kesatuan Eropah, didorong oleh kebimbangan terhadap para pelarian, serta kemunculan Donald Trump di Amerika Syarikat yang memberi cabaran kepada penggubal dasar yang telah lama menjuarai perdagangan dunia, kerjasama serantau, keterbukaan dan toleransi.

A5.    Suara-suara perbalahan semakin meningkat dalam apa yang dipanggil sebagai demokrasi yang matang di mana kuasa-kuasa politik, kiri dan kanan, bergerak ke arah yang menyimpang. Jelaslah kepada kita bahawa negara-negara ini telah gagal untuk menerima kepelbagaian budaya secara mapan, tidak seperti Malaysia.

A6.     Peluang terus terbuka luas kepada Malaysia dan rakyat Malaysia oleh kerana konsep perkongsian kuasa dan keterangkuman Barisan Nasional (BN) berdasarkan kesederhanaan kekal sebagai formula terbaik untuk Malaysia. Ini telah terbukti menjadi asas kukuh untuk pertumbuhan kita sebagai sebuah negara selama ini. Tun Tan Siew Sin dan Tun Sambathan, walaupun merupakan anggota komuniti minoriti, telah memegang jawatan penting dalam Kabinet negara kita pada tahun 50'an dan 60'an sebelum rakyat Amerika Afrika di Amerika Syarikat dapat mengundi atau Kabinet Australia, United Kingdom mahupun Kanada mempunyai sebarang perwakilan minoriti. Sudah tiba masanya rekod dan pengalaman kita dahulu mengenai keharmonian dalam kepelbagaian terus diperkukuhkan supaya terus kekal sebagai teladan bagi dunia. Maka akan sampai masanya Dunia Barat mengamalkan Dasar Pandang ke Timur.

 

B.      KESEDERHANAAN: TINDAKAN MENDAHULUI PERCAKAPAN

B1.      Ketika dunia memerangi ekstremisme dari Daesh dan kebangkitan parti nasionalis sayap kanan di Eropah, Amerika Syarikat dan negara-negara lain, keperluan untuk menegak kesederhanaan menjadi keutamaan. Kesederhanaan mungkin kedengaran membosankan tetapi ia adalah satu-satunya cara agar kita dapat hidup di dunia berbilang kutub dan pelbagai budaya.

B2.      Gerakan tetap berpendirian teguh agar pelaksanaan Undang-undang Jenayah Islam atau Hudud tidak sesuai untuk negara kita dan tidak sepatutnya dijadikan sebahagian daripada agenda BN. Malaysia tidak akan dapat bertahan sebagai sebuah negara yang bersatu-padu, progresif dan moden sekiranya kita mempunyai dua sistem kehakiman jenayah. Pembahagian antara undang-undang sivil dan Islam adalah amat jelas ketika kita mencapai kemerdekaan dan ianya mestilah kekal sedemikian. Sejarah mengingatkan kita, apabila agama dan politik dicampur-adukkan untuk melahirkan fahaman populis sementara, ia merupakan projek yang pasti gagal dengan kesan-kesan yang akan melemahkan Negara daam jangka masa panjang.

B3.     Pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 [Akta 355] tidak boleh digunakan sebagai satu cubaan pintu belakang untuk melaksanakan undang-undang jenayah Islam. PAS perlu berterus terang, terbuka, jujur dan ikhlas dalam cubaan untuk meminda Akta 355. Pindaan Akta 355 yang dicadangkan oleh PAS adalah kurang jelas dan memberi kuasa hampir mutlak untuk menjatuhkan hukuman dan ini boleh membuka ruang kepada penyalahgunaan. Saya ingin mengulangi bahawa kami menghormati Islam sebagai agama Persekutuan, namun begitu adalah menjadi tanggungjawab di sisi perlembagaan untuk seluruh rakyat Malaysia menghormati kebebasan beragama.

B4.      Selain itu, pihak polis mesti mengambil tindakan terhadap mereka yang mengungkapkan kenyataan-kenyatan sensitif, meskipun mereka adalah penyokong kita, kerana kedaulatan undang-undang hanya dapat berfungsi sekiranya ianya digunakan secara sama rata untuk semua. Sesiapa yang mengeluarkan kenyataan yang boleh mengipas perasaan benci harus berdepan dengan tindakan undang-undang.

B5.      Dalam konteks ini, saya menyeru kepada semua parti politik, kawan dan lawan, supaya menyertai pergerakan kita untuk sebuah Malaysia yang sederhana. Dalam tempoh sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, Gerakan telah melancarkan beberapa inisiatif untuk menggalakkan interaksi di kalangan pelbagai kumpulan etnik. Kita menggalakkan penubuhan Facebook berkumpulan, kumpulan sembang Whatsapp dan Wechat pelbagai kaum, forum dan perbincangan; supaya kita boleh belajar dan lebih menghargai antara satu sama lain. Usaha-usaha untuk membina dan mengekalkan sebuah negara Malaysia yang bersatu padu adalah komitmen sepenuh masa bagi setiap rakyat Malaysia. Kita perlu mengamalkan kesederhanaan di rumah, di kejiranan, di sekolah, di tempat kerja, dalam politik serta di kalangan masyarakat sivil. Dalam hal memupuk kesedaran, kita memerlukan lebih tindakan mendahului percakapan.

 

C.       BAJET 2017: BAJET UNTUK RAKYAT

 

C1.     Gerakan telah membuat beberapa cadangan untuk Bajet 2017. Kami faham bahawa pendapatan asas negara telah merosot akibat kejatuhan harga minyak mentah. Oleh itu, Gerakan sepenuh hati menyokong usaha kerajaan untuk memperkukuhkan serta mengoptimumkan perbelanjaan kerajaan dengan menghapuskan pembaziran di samping menggunakan teknologi. Ini akan memberi manfaat untuk jangka masa panjang.

C2.      Gerakan menyeru supaya ditubuhkan Biasiswa Nasional yang akan dibiayai melalui menaikkan cukai sebanyak 1% ke atas semua rakyat Malaysia yang berpendapatan lebih daripada RM 1 juta serta syarikat yang berpendapatan lebih daripada RM 300 juta. Biasiswa Nasional baru ini mestilah dianugerahkan berdasarkan merit semata-mata. Kita mesti berdaya sedaya untuk menahan bakat yang ada. Penerima biasiswa ini mesti kembali untuk berkhidmat dengan kerajaan selama sepuluh (10) tahun dan mereka inilah merupakan generasi pemimpin-pemimpin politik, ekonomi dan sosial bagi masa akan datang.

C3.     Dalam usaha untuk meningkatkan kecairan dalam sistem kewangan, saya percaya kerajaan patut menggalakkan rakyat Malaysia yang menyimpan dana mereka di luar negara untuk membawa pulang wang mereka untuk tujuan pelaburan dan penggunaan dalam negeri, dengan membayar cukai rata hanya sebanyak 10% yang dijanakan oleh program pengampunan akan membolehkan bank menawarkan lebih banyak pinjaman, terutamanya kepada pembeli rumah.

 

D.       BARISAN NASIONAL: SEBUAH BARISAN REFORMIS PERLU PEMBAHARUAN TAMBAHAN

D1.       Dua tahun kebelakangan ini adalah sukar kepada BN. Kawan telah menjadi lawan. Mereka yang kita amanahkan dengan kuasa dan kepercayaan rupanya akhirnya menjadi serigala dalam luaran kambing. Perdana Menteri dan kerajaan diserang oleh mereka yang pernah kita sokong.

D2.      Akan tetapi, kini penghalang kepada agenda reformis BN telah keluar dari BN, sudah tiba masanya untuk kita mempercepatkan agenda reformis bagi memastikan Malaysia kekal di landasan yang betul bagi kita merangkul cabaran 50 tahun akan datang. Kita mesti berani menghadap arus perubahan kerana rakyat akan menyokong sekiranya kita membuat keputusan yang tepat.

D3.      Saya percaya fasa pertama program transformasi sosial, politik, ekonomi dan kerajaan telah membuahkan hasil yang agak menggalakkan. Ekonomi kita terus berkembang meskipun dalam kelembapan global. Kemiskinan berjaya dikurangkan. Kita telah memperkenalkan gaji minimum dan membina jaringan keselamatan sosial yang berdaya maju. Kita telah meningkatkan pengangkutan awam dalam bandar dengan pembinaan MRT dan sambungan LRT. Kita telah menyediakan jalan raya, air, elektrik dan perumahan yang baik untuk kawasan luar bandar. Pelaburan asing terus kukuh dan para pelabur mempunyai keyakinan terhadap pengurusan negara kita.

D4.      Namun lebih dari itu, setelah hampir 60 tahun, BN perlu duduk dan berfikir dengan sebaik yang boleh bagaimana ia mahu terus kekal relevan untuk 50 tahun akan datang. Satu pengajaran pahit kepada kami dalam Gerakan adalah, berehat atau bergantung kepada kejayaan masa lalu tidak akan meyakinkan pengundi untuk terus menyokong kita, memandangkan mereka kini lebih termaklum dan mendesak terhadap kerajaan. Retorik masa lampau tidak lagi bermakna kerana ketidakyakinan etnik telah beralih ke kebimbangan yang lebih besar terhadap kehidupan dan kemampanan. Oleh itu, kita mesti membina wawasan baru untuk Malaysia.

D5.      Satu wawasan yang cergas, progresif dan bercita-cita tinggi. Satu wawasan yang akan menggilap kredibiliti pembaharuan BN dan memberi rakyat keyakinan bahawa hari terbaik kita akan tiba. Dalam wawasan ini, semua rakyat Malaysia harus mempunyai peranan supaya kita boleh membina secara kolektif satu masa depan yang akan dikongsi bersama. Justeru itu saya menyeru kepada kerajaan untuk menubuhkan Majlis Perundingan Negara yang terdiri daripada pakar bidang politik, akademik, kerajaan, organisasi sosial dan sektor korporat untuk duduk bersama supaya merangka piagam baru. Sudah tiba masanya untuk kita berbahas atas perbezaan kita dengan ikhlas dan secara serius supaya membina persefahaman dan menjadikan kepelbagaian kita kekuatan sebenar.

D6.      Kita juga perlu mengadakan perundingan yang segera bagi penyatuan BN. Kita mesti mengadakan perdebatan yang telus sama ada model politik yang berasaskan kaum masih relevan selepas 59 tahun. Perbezaan etnik mesti tunduk kepada aspirasi negara. Nasionalisme Malaysia adalah gambaran masa depan Malaysia, bukannya ethnocentrisme. Hal-hal inilah merupakan kesukaran realiti sebenar yang kita mesti mengharungi dalam usaha untuk memastikan kerelevenan politik kita kini dan pada masa depan.

E.       PAKATAN HARAPAN RAKYAT: JUAL HARAPAN PALSU MEMBAWA KEPADA KEGAGALAN

E1.       Meskipun lantang membicarakan tentang kecekapan, ketelusan dan akauntabiliti atau "C.A.T", kerajaan negeri Pulau Pinang pimpinan DAP bagi penggal kedua telah menjadi sinonim dengan skandal dan tadbir urus yang jelas merosot. Dari bukit botak ke terowong yang meragukan, Negeri Pulau Pinang kini menyaksikan menurun secara berterusan di bawah naungan Lim Guan Eng. Harga rumah mendadak begitu tinggi sehingga kebanyakan rakyat Pulau Pinang tidak lagi mampu memiliki rumah. Pencemaran alam sekitar akibat pembangunan melampau serta penambakan tidak terkawal yang merosakkan flora dan fauna sedang menjejas Pulau Pinang sebagai pusat tarikan pelancong. Banyak kilang elektronik terpaksa gulung tikar dan berpindah ke tempat lain atau mengurangkan pengeluaran kerana Pulau Pinang bukan lagi tempat yang mudah untuk menjalankan perniagaan seperti dulu.

E2.       Pulau Pinang bukan lagi mutiara asia timur yang bersinar. Laluan Gurney seakan hilang, manakala bukit di Pulau Pinang telah dibotakkan secara sengaja.  Sebelumnya kerajaan negeri diterajui oleh Gerakan berjaya memastikan pembangunan mampan di Pulau Pinang serta kejayaan hebat termasuk memastikan perumahan yang mampu milik, penyenaraian George Town sebagai Warisan Dunia UNESCO dan pengembangan industri berteknologi tinggi.  CAT telah hancur sepenuhnya disebabkan tindakan pemimpin DAP itu sendiri dan bukan dari mana-mana kuasa luaran. Hari ini, Pulau Pinang semakin merudum.

E3.       Di Selangor, lebuhraya dibina dengan mengorbankan beberapa komuniti tetap, dan merentasi satu hutan simpan.  Pengumpulan sampah dan sanitasi telah kian merosot. Kesemua ini menjurus kepada kemerosotan kualiti hidup rakyat secara keseluruhan.  Gerakan tidak berdiam diri. Kita telah berada di barisan hadapan dalam mengkritikkan kerajaan negeri Pulau Pinang dan Selangor.  Pemimpin-pemimpin kita telah dikenakan tindakan undang-undang tetapi saya beri jaminan kita tidak gentar. Kita akan bercakap tanpa rasa takut atau memihak kepada sesiapa demi kepentingan rakyat.

E4.      Seperti yang saya katakan sebelum ini, meskipun kita berbangga dengan pencapaian kita dahulu, kita tidak boleh berpuas hati dengan kejayaan yang lalu. Kita mesti membina sebuah naratif yang baru. Gerakan sebagai parti utama dalam BN Pulau Pinang akan terus memperjuangkan nasib rakyat dan pada masa yang sama memperkenalkan naratif alternatif yang akan memberi tumpuan kepada pembangunan mampan, pendidikan dan inovasi, perumahan mampu milik, perlindungan alam sekitar dan memperkasakan belia. Ini akan menjadi teras utama strategi kami untuk memimpin Negeri Pulau Pinang ke arah membina masa depan yang lebih cerah bagi manfaat semua rakyat Pulau Pinang.

F.        PILIHAN RAYA UMUM KE-14: DETIK PENTING GERAKAN

F1.       Pilihan Raya Umum Ke-12 dan Ke-13 sememangnya sangat rumit bagi Gerakan. Kita kehilangan kubu tradisi kita di Pulau Pinang dan sebahagian besar kerusi. Pemimpin-pemimpin kita terpaksa menyesuaikan diri mereka dengan menjadi pembangkang di Pulau Pinang dan Selangor. Ini memang sangat sukar, kerana ia memerlukan banyak kesabaran, persefahaman dan ketabahan. Tapi ini merupakan panggilan kesedaran. Kita tewas kerana kita menjadi renggang dan kita tidak membuat pilihan yang tepat dan bernas. Tambahan pula, kita membiarkan diri kita terperangkap dengan propaganda negatif dan taktik memecah-belahkan oleh pihak pembangkang.

F2.       Sekiranya ada iktibar yang dapat diambil daripada Pilihan Raya Umum Ke-12, hanya mengamalkan kerja baik sahaja tidak semestinya dapat menyakinkan rakyat. Kami memerlukan strategi komunikasi yang baik dan berkesan terutama pada masa dan zaman ini di mana media sosial telah mengubah aliran maklumat.

F3.       Justeru itu, persediaan untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 akan menjadi detik penting Gerakan. Kita tidak mampu lagi mengulangi kekalahan besar Pilihan Raya Umum Ke-12 dan Ke-13. Kita mesti melawan balik dengan setiap tenaga dan semangat. Kita mesti memperjuangkan hak rakyat dan menawarkan diri sebagai alternatif kepada Pakatan Harapan Rakyat, terutamanya di Negeri Pulau Pinang.

F4.       Gerakan adalah parti pertama yang mengenal pasti calon tiga tahun sebelum tarikh akhir pilihan raya umum akan datang. Sebabnya saya berbuat demikian adalah kerana kita perlu bersedia lebih awal dan calon-calon kita perlu menyesuaikan diri dengan pengundi di kawasan mereka. Seperti biasa, memang ada mereka yang berusaha untuk melobi atau membuat kacau kerana tidak dipilih, maka lebih baik kalau dapat mengendali dan menyelesaikannya lebih awal supaya tidak menjejas peluang kita sebelum atau semasa kempen pilihanraya.

F5.       Semua calon berpotensi telah diberikan taklimat dan panduan atas cara mengorganisasikan pasukan berkempen, membuat analisis ke atas kawasan masing-masing dan membina pangkalan sokongan di akar umbi. Saya telah memberi arahan yang tegas kepada mereka untuk bersiap sedia dalam masa tiga hingga enam bulan yang akan datang. Maka, saya menggesa anda semua untuk berusaha kuat, dan mencuba sedaya upaya serta menunjukkan keikhlasan dan komitmen. Anda akan dinilai dari semasa ke semasa mulai sekarang. Mereka yang gagal dalam prestasi akan digugur.

F6.      Saya menggesa ahli-ahli parti di semua peringkat untuk memberi sokongan kepada calon-calon berpotensi kita. Saya juga menyeru orang ramai supaya memberi Gerakan satu peluang. Di Pulau Pinang dan Selangor, Gerakan di barisan pembangkang berjanji akan menjalankan semak dan seimbang di dalam dan luar dewan undangan. Di Kerajaan Pusat dan negeri-negeri yang lain, kami berjanji akan memainkan peranan yang positif, proaktif dan efektif bagi berkhidmat kepada rakyat menerusi kerajaan, sebagaimana yang telahpun dilakukan oleh kami sebelum ini.

G.       KESIMPULAN

G1.      Saudara-Saudari yang dikasihi, saya telah berada dalam bidang politik selama 21 tahun. Negarawan Prussia Bismark berkata, "Politik adalah seni mengenai kemungkinan dan kebarangkalian." Maksudnya, apa pun boleh berlaku dalam politik. Namun dalam Gerakan, kita sentiasa mengamalkan politik yang berprinsip, berlandaskan nilai-nilai keadilan, kesamarataan, kesaksamaan dan saling hormat-menghormati.

G2.     Gerakan bukan parti politik dalam erti kata konvensional tetapi kita adalah sebuah gerakan rakyat. Dalam tempoh dua (2) tahun lagi, kita akan menyambut Jubli Emas kita (Ulang Tahun ke-50) dan saya berasa bangga kita ada banyak untuk ditunjukkan kepada rakyat. Kita telah menyumbang kepada pembangunan Malaysia, terutama di Pulau Pinang. Di peringkat kebangsaan, Mendiang Tun Lim Keng Yaik adalah Menteri Perusahaan Utama yang paling lama berkhidmat. Saya kini berkhidmat sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dan ianya merupakan satu kepulangan. Gerakan turut menyumbang kepada penubuhan program kolej berkembar dan membantu dalam penggubalan enakmen Akta Pendidikan 1996 yang melindungi pendidikan vernakular.

G3.      Ya, memang betul kita telah berusaha sedaya upaya dan mencapai agak banyak. Namun realiti politik adalah ianya sentiasa naik dan turun. Ada masa baik, ada masa buruk. Tetapi kita perlu memperbaharui diri kita dan kekal komited kepada idealisme pengasas parti. Kita tidak boleh goyah bila dalam kesukaran dan hendaklah terus menangani dan mengatasi cabaran yang kita hadapi.

G4.     Namun kita juga perlu berfikir panjang dan mendalam tentang masa depan parti. Pemuda dan Wanita perlu berusaha merekrut lebih ramai ahli serta memperluaskan asas keahlian. Kita akan menubuhkan perkongsian strategik dengan pertubuhan-pertubuhan yang sealiran fikiran serta terus berusaha untuk memajukan sebuah Malaysia yang sederhana.

G5.    Kita juga harus membezakan diri daripada pesaing kita. Gerakan adalah parti yang mencari penyelesaian. Kita sentiasa menjadi peneraju dalam berkongsi idea-idea kita tentang reformasi dana politik, bajet dan ekonomi, pendidikan dan inovasi serta undang-undang dan hak asasi manusia. Ada ketikanya kita tidak mendapat kesemuanya apa yang kita memperjuangkan tetapi politik juga adalah satu usaha berkompromi. Bekerjasama demi kepentingan negara sememangnya merupakan satu penghormatan dan kewajipan.

G6.      Bagi mengakhiri ucapan dasar ini, saya sekali lagi ingin mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri memberi amanat melalui video dan saudara-saudari kerana hadir pada hari ini serta memberi sokongan dan pemahaman yang berterusan. Kepada semua Gerakanists, berdirilah dan berbangga, sentiasa ingat bahawa kita adalah sebuah parti yang baik, melakukan yang terbaik untuk Malaysia yang sangat kita cintai. Kepada semua rakyat Malaysia, marilah kita bersatu demi kemajuan dan kemakmuran, demi Malaysia yang sederhana dan moden.

Search

Calendar

Gerakan Matters

VIDEO

Top

Google+
Follow @partigerakan